Alat Kebolehcapaian

Utama » Media » Teks Ucapan Ketua Pengarah

Teks Ucapan Ketua Pengarah

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN

YBRS. Ir. HAJI MOHD HATTA BIN ZAKARIA

KETUA PENGARAH, JKKP MALAYSIA

Program :Majlis Penutup Minggu KKP 2024 Peringkat Kebangsaan 2024sempena Seminar Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024
Tarikh :5 Ogos 2024 (Isnin)
Tempat :Bangi Avenue Convention Centre (BACC)
Anjuran :Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 

Bismillahir Rahminir Rohim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

(Mohon Rujuk Senarai Protokol)

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurniaNya dapat kita bersama-sama  dalam majlis penutup  Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan 2024 sempena Seminar Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 pada hari ini.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  atas penganjuran majlis ini.

YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

(Pengenalan OSH Week dan 

  1. Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau dikenali sebagai OSHWEEK adalah satu acara tahunan yang disambut setiap tahun susulan berdasarkan arahan Kabinet pada  24 Mei 2006. 
  1. Pelbagai program dan aktiviti dirancang bagi menjayakan sambutan minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024 dan keutamaan pada tahun ini adalah mengadakan hebahan berkaitan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) yang telah berkuatkuasa bermula
    1 Jun 2024 serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat.
  1. Ini seiring dengan objektif utama sambutan minggu KKP yang antaranya adalah menyampaikan maklumat terkini berkaitan isu-isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di samping mewujudkan perkongsian maklumat pintar di antara kerajaan, majikan dan pekerja.
  1. Pada waktu yang sama, ianya juga merupakan platform kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta yang berkaitan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan pekerja di negara kita dan pada hari ini, fokus diberikan kepada sektor pembinaan.
  1. Sektor pembinaan adalah antara penyumbang utama pembangunan ekonomi negara serta menentukan halatuju infrastruktur sesebuah negara. Oleh itu Kerajaan telah memberi tumpuan kepada sektor pembinaan bagi memastikan sektor ini terus berkembang pesat dan mampan serta berdaya saing.

 YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

(Konsep OSH Week 2024)

  1. Setiap tahun, Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan disambut pada minggu ke-2 bulan Julai, namun pada tahun ini, Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  telah  disambut sepanjang bulan Jun 2024 sehingga
    31 Julai 2024.
  1. Ini bertujuan memberikan masa yang mencukupi kepada semua pemegang taruh untuk menyertai dan melaksana program dan aktiviti, terutamanya berkaitan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya agar informasi yang tepat dan jitu dapat disalurkan terus kepada semua. 
  1. Sebanyak 6 program Hebahan Perundangan Baharu KKP Negara melalui Jerayawara telah dibuat melibatkan 6 zon, dan melalui hebahan ini 1,243 orang peserta telah hadir secara fizikal manakala 6,281 orang peserta hadir secara dalam talian. Selain itu, operasi Sebaran Perundangan AKKP Revolusi KKP Negara atau dikenali sebagai SPARK telah diadakan pada 12-27 Jun 2024 serentak di seluruh Negara bagi memantau pengetahuan industri berkaitan AKKP (Pindaan) 2022. 
  1. Selain itu sejak pewartaan AKKP (Pindaan) 2022  pada  16 Mac 2022, Jabatan juga telah menerima sebanyak 55 permohonan ceramah melibatkan pelbagai program berkaitan perundangan baharu ini.
  1. Langkah ini dilakukan bertujuan agar semua pemegang taruh mampu mengaplikasikan pengetahuan perundangan terkini untuk memperkuatkan pematuhan serta meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjan bukan sahaja di sektor pembinaan tetapi kepada semua sektor-sektor lain.

YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

(Tema OSH Week 2024 dan hubung kait dengan seminar Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024)

  1. Tema Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun ini adalah Revolusi Landskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.
  1. Bertepatan dengan tema pada tahun ini, program dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan adalah ke arah hebahan dan promosi ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022, serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya yang telah diadakan di seluruh negeri mengikut Zon.
  1. Pada hari ini, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 akan dikupas secara terperinci untuk pengetahuan semua yang hadir.
  1. Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 yang mula dikuatkuaskan pada
    1 Jun 2024  digubal bertujuan memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat dan sihat melalui penetapan kewajipan kepada pihak berkepentingan seperti klien, perekabentuk dan pembina.

YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

(Statistik Kemalangan sektor Pembinaan)

  1. Jika dilihat secara terperinci ke atas statistik kecederaan pekerjaan negara sektor pembinaan yang dilaporkan ke JKKP, didapati:
    1. Kadar kecederaan maut (per 100,000 pekerja)  menurun daripada 6.30 per 100,000 pekerja pada tahun 2021 kepada 6.15 per 100,000 pekerja pada tahun 2022; 
    2. Jumlah ini merupakan 45.48% penurunan pada tahun 2022 berbanding tahun  2019 (kadar kecederaan maut  pada 2019 adalah 11.28 per 100,000 pekerja)
  1. Kerajaan melalui JKKP telah dan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sektor pembinaan ini walaupun sektor yang berisiko tinggi tetapi tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan boleh dikawal dengan sempurna.
  1. Sehubungan itu adalah diharapkan melalui  Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, pihak yang diberi kewajipan akan bekerjasama untuk mengurus projek supaya sentiasa selamat sepanjang tempoh pembinaan, penyelenggaraan dan perobohan kelak dan dapat membantu mengurangkan kes kecederaan maut dan kes kecederaan pekerjaan yang kini berada pada fasa yang perlu diberi perhatian yang serious.

YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

(Hubungkait Tema Hari Pekerja, KKP Negara dan Harapan serta Kesimpulan)

  1. Menyorot kembali Tema Hari Pekerja Tahun ini, “PEKERJA KESUMA BANGSA”, yang mencerminkan  inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama disamping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.
  1. Dan, untuk mencapai tahap tersebut, ia berkait rapat dengan penggalakan budaya kerja selamat dan sihat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.
  1. Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 ini, landskap KKP di negara kita perlahan-lahan akan berubah dan ini adalah salah satu tindakan positif dalam menambah baik standard KKP Negara dan ianya berkait rapat dengan kesejahteraan pekerja yang merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
  1. Kerajaan juga telah berjaya mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen Occupational Safety and Health Convention,1981 (No C155) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 11 Jun 2024. Usaha ini juga adalah pelengkap kepada pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara susulan pindaan ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] (Pindaan) 2022 [Akta A1648] .
  1. Dalam hal ini, saya menaruh harapan yang tinggi agar pembentukan budaya kerja selamat dan sihat dapat diusahakan bersama oleh kerajaan, majikan dan pekerja seiring dengan prinsip tripatite yang dipelopori oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
  1. Seterusnya konsep 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan Pekerja yang diperkenalkan oleh KESUMA untuk kesejahteraan pekerja Malaysia dengan menambahbaik dasar dan perundangan perburuhan termasuk AKKP Pindaan dan peraturan-peraturan subsidiari di bawahnya menjadi satu satu keberhasilan negara.
  1. Dengan kata-kata itu, dan dengan lafaz, BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM saya dengan ini merasmikan penutupan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang bertemakan ‘Revolusi Landskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022’ sempena Seminar Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 pada hari ini.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YANG BERUSAHA

Ir. HJ. MOHD HATTA BIN ZAKARIA

Ketua Pengarah 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Malaysia

Program :MAJLIS PENGHARGAAN AGEING PLANT MANAGEMENT SYSTEM (APMS) DOSH – FGV SEMPENA MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 2024
Tarikh :11 Julai 2024 (Khamis)
Tempat :FGV Palm Industries Sdn Bhd,
Kilang Sawit Air Tawar, Kota Tinggi, Johor
Anjuran :FGV Holdings Berhad dengan kerjasama MNKKP

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Senarai Protokol

  1. Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur dan berbesar hati saya berdiri di sini pada hari ini untuk menyampaikan ucaptama sempena ‘MAJLIS PENGHARGAAN AGEING PLANT MANAGEMENT SYSTEM (APMS) DOSH – FGV’. Acara berprestij yang berlangsung buat pertama kalinya di negeri Johor Darul Takzim ini merekodkan pencapaian penting ke arah meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  1. Saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak FGV Holdings Berhad yang sudi berkolaborasi bersama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dalam menganjurkan Majlis Penghargaan APMS (DOSH-FGV) ini. Kerjasama ini penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, dan dalam menetapkan penanda aras untuk mencapai objektif bersama.
  1. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutama tuan rumah FGV Palm Industries Sdn Bhd, Kilang Sawit Air Tawar, Kota Tinggi, Johor atas komitmen mereka untuk memupuk persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Penganjuran majlis ini amat signifikan kerana ia bertepatan dengan sambutan tahunan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week), yang disambut setiap tahun pada minggu kedua bulan Julai. 
  1. Walaupun demikian, sambutan OSH Week pada tahun ini agak istimewa kerana selain telah bermula seawal bulan Jun, bersempena dengan tarikh penguatkuasaan AKKP (Pindaan) 2022, tema OSH Week pada tahun ini juga berhubung kait dengan AKKP (Pindaan) 2022 iaitu Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022. Secara simboliknya, majlis penghargaan ini merupakan majlis rasmi Jabatan bagi sambutan OSH Week tahun 2024.  
  1. Majlis penghargaan ini merupakan usaha berterusan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja berkonsepkan tripartisme. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dan memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan tenaga kerja. 
  1. Tugas besar ini memerlukan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, majikan dan pekerja.
  1. Dalam konteks ini, saya ingin menekankan tanggungjawab dan amanah besar yang diletakkan kepada FGV Holdings Berhad sebagai antara pemain utama dalam industri kelapa sawit Malaysia. 
  1. Risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang unik di sektor ini memerlukan pendekatan yang fleksibel dan adaptif kepada pengurusan. Pengurusan risiko yang berkesan bukan sahaja dengan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja kita tetapi juga menjadi bukti kepada pertumbuhan dan kecemerlangan ekonomi negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Sejak tahun 2023, pihak FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengambil inisiatif kendiri bagi melibatkan loji-loji di bawah kawalan FGV dengan mengambil bahagian dalam menjalankan penilaian kendiri terhadap sistem pengurusan integriti aset di loji mereka. 
  1. Penilaian kendiri tersebut menguna pakai sistem Ageing Plant Information System (APIS) yang telah dibangunkan oleh JKKP. Sistem ini direka bentuk bagi membantu pengguna-penggunanya dalam pengurusan integriti aset dengan menilai faktor penuaan bagi sesuatu loji. Diharapkan sistem APIS ini dapat membantu loji-loji FGV menilai faktor penuaan loji di bawah kawalan mereka. 
  1. Inisiatif kendiri yang dilaksanakan oleh FGV ini memang patut dijadikan contoh dan diberikan penghargaan. Pada peringkat awal, JKKP baru memperkenalkan sistem ini kepada semua pepasangan yang tertakluk di bawah Peraturan CIMAH 1996 dan belum lagi dipanjangkan kepada pepasangan lain. 
  1. Namun, FGV Holding Berhad telah maju setapak ke hadapan dengan mengambil ketetapan agar semua loji di bawah kawalan FGV menjalani penilaian kendiri terhadap pengurusan integriti aset-asetnya menggunakan sistem APIS, walaupun loji-loji tersebut bukanlah pepasangan yang tertakluk di bawah Peraturan CIMAH 1996. 
  1. Inisiatif dan usaha sebanyak 86 loji di bawah seliaan FGV Holding Berhad yang secara sukarela mengambil bahagian dalam APIS ini mampu menyuntik semangat dan meningkatkan kesedaran peraturan kendiri dalam kalangan pihak industri serta dapat memupuk standard keselamatan dan kesihatan tertinggi di tempat kerja.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah membangunkan satu sistem bagi menilai faktor penuaan loji dalam pengurusan integriti aset iaitu Sistem Pengurusan Penuaan Loji atau Ageing Plant Management System (APMS). 
  1. Sistem pengurusan ini bertujuan untuk membantu tempat kerja menjalankan penilaian kendiri terhadap sistem pengurusan integriti aset di loji mereka melalui sistem ‘Ageing Plant Information System’ (APIS). Pemantauan terhadap integriti aset ini bertujuan untuk menilai sama ada loji tersebut mengalami masalah kemerosotan atau keusangan yang boleh mencetuskan isu penuaan loji tidak kira dari segi usia integriti atau prestasi fungsinya.
  1. Kemerosotan atau keusangan loji ini jika tidak dipantau, disenggara dan diurus dengan baik serta cekap, boleh menyebabkan pemberhentian pengoperasian loji yang tidak dirancang dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat.
  1. Objektif penilaian kendiri melalui sistem APIS ini adalah bagi menilai pengurusan integriti aset yang merangkumi:
  1. Kesedaran dan komitmen pihak pengurusan tempat kerja terhadap isu-isu yang berkaitan dengan penuaan loji;
  2. Kaedah pemantauan integriti loji yang digunakan oleh pepasangan bagi memastikan keselamatan sepanjang tempoh pengoperasian loji; dan
  3. Program penyelenggaraan loji yang dipraktikkan oleh tempat kerja bagi menangani isu penuaan loji.
  1. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap melalui integrasi teknologi, juga menepati landskap KKP negara yang akan berevolusi selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa bermula 1 Jun 2024. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Kesimpulannya, inisiatif kendiri dalam kalangan industri ini amat bertepatan dengan objektif dan seruan untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama dan berkolaborasi mengikut konsep tripartisme, serta mengukuhkan komitmen untuk mencapai matlamat persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap untuk semua rakyat Malaysia. 
  1. Marilah kita merealisasikan misi ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab dalam usaha untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif.
  1. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,

saya dengan sukacitanya merasmikan ‘MAJLIS PENGHARGAAN AGEING PLANT MANAGEMENT SYSTEM (APMS) DOSH – FGV’

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN 

YANG BERUSAHA

IR. HJ. MOHD HATTA BIN ZAKARIA

Ketua Pengarah 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Malaysia

Program :Operasi SPARK (Sebaran Perundangan AKKP Revolusi KKP Negara)
Tarikh :5 Julai 2024 (Jumaat)
Tempat :Lot 8MD3, Jalan P8H, Presint 8, 62250 Putrajaya

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan-rakan media,

  1. Kerajaan amat komited untuk memastikan semua pekerja di negara ini dapat bekerja di persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif. Komitmen ini dizahirkan melalui beberapa pendekatan dan antaranya adalah dengan membuat semakan semula ke atas perundangan sedia ada yang melibatkan Akta, Peraturan dan Garis Panduan.
  1. Ini termasuklah pewartaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dilaksanakan selaras dengan perkembangan ekonomi negara dengan wujudnya pelbagai sektor pekerjaan baru yang mendedahkan pekerja kepada pelbagai hazard keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
  1. Akta Pindaan ini telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Inisiatif bagi hebahan Akta ini telah aktif dijalankan melalui program Hebahan Perundangan Baharu KKP Negara, di enam (6) zon seluruh negara, bermula pada 20 Mei 2024 di Pulau Pinang (Zon Utara) dan berakhir pada 29 Mei 2024 di Selangor (Zon Tengah). Sejumlah 1,103 orang peserta hadir secara fizikal dan 6,281 orang peserta hadir secara dalam talian sepanjang program hebahan ini berlangsung.
  1. Operasi SPARK telah berlangsung selama sepuluh (10) hari bermula pada 12 Jun 2024 sehingga 27 Jun 2024 serentak di seluruh negara. Operasi SPARK yang melibatkan 1,241 tempat kerja ini telah dijalankan oleh pegawai JKKP melalui aktiviti penguatkuasaan di pelbagai sektor industri (sebanyak 40%), pemeriksaan jentera berperakuan (sebanyak 40%) serta penguatkuasaan tapak binaan (sebanyak 15%).  
  1. Tujuan Operasi SPARK ini dijalankan adalah untuk menghebahkan kuat kuasa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, dan pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1967.  Operasi ini juga bertujuan mengetahui keberkesanan strategi hebahan JKKP berkaitan perundangan baharu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara. Hasil daripada operasi ini, 70% tempat kerja memberi respon positif dan memaklumkan mereka mengetahui tentang pindaan Akta KKP yang terkini.
  1. Dari segi kaedah hebahan sebanyak 43% responden dari tempat kerja menyatakan bahawa penganjuran program jerayawara dan seminar telah berjaya memberikan maklumat berkenaan pindaan Akta KKP terkini.  Manakala 20% industri bersetuju platform media sosial seperti Facebook JKKP dan TikTok JKKP memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan 37% industri mengetahui berkenaan pindaan perundangan ini melalui MyKKP.  
  1. Antara perubahan ketara di dalam Akta Pindaan ini adalah memperkenalkan peruntukan baharu berkaitan tanggungjawab menjalankan pentaksiran risiko, pelantikan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH Coordinator) dan peningkatan penalti (deterrent effect) yang berjumlah sepuluh (10) kali ganda daripada yang sedia ada, iaitu maksimum penalti dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000.
  1. Dengan peningkatan kadar penalti untuk setiap pelanggaran di bawah Akta Pindaan ini, secara tidak langsung isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja akan diberi perhatian dengan menjadikan tempat kerja bebas daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.
  1. JKKP sentiasa menekankan pentingnya penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta perlunya penyesuaian terhadap cabaran baharu dalam KKP bagi memastikan tempat kerja adalah selamat, sihat, kondusif dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YANG BERUSAHA

IR. HAJI MOHD HATTA BIN ZAKARIA​​

Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Program :PD&T and Partners HSE Conference (PPHC) 2024
Tarikh :24 Jun 2024 (Isnin)
Tempat :Hotel Sheraton, Kuching, Sarawak
Anjuran :Project Delivery & Technology (PD&T), PETRONAS  

Bismillahirahmannirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Senarai Protokol

  1. Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur dan berbesar hati saya berdiri di sini pada hari ini untuk menyampaikan ucaptama sempena ‘PD&T and Partners HSE Conference 2024’, juga dikenali sebagai PPHC 2024. Acara berprestij yang berlangsung buat pertama kalinya di negeri Sarawak Bumi Kenyalang ini merekodkan pencapaian penting ke arah meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  1. Saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Project Delivery & Technology (PD&T), PETRONAS kerana menganjurkan persidangan ini. Kerjasama mereka dengan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, dan dalam menetapkan penanda aras untuk mencapai objektif bersama.
  2. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutama dalam industri minyak dan gas serta rakan kongsi, atas komitmen mereka untuk memupuk persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Penganjuran persidangan ini amat signifikan kerana ia bertepatan dengan sambutan tahunan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week), yang disambut setiap tahun pada minggu kedua bulan Julai
  1. Walaupun demikian, sambutan OSH Week pada tahun ini agak istimewa kerana selain telah bermula seawal bulan Jun, bersempena dengan tarikh penguatkuasaan AKKP Pindaan (2022), Tema OSH Week pada tahun ini juga berhubung kait dengan AKKP Pindaan 2022 iaitu Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.
  1. Selain itu, bagi membolehkan masa yang mencukupi kepada semua pemegang taruh untuk sama-sama menyambut OSH Week pada tahun ini, tempoh sambutan OSH Week juga dilanjutkan sehingga 31 Julai 2024. Secara simboliknya, soft launch OSH Week peringkat kebangsaan juga adalah termasuk dalam PPHC 2024 ini.  
  1. Majlis pelancaran ini merupakan usaha berterusan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja berkonsepkan tripartisme. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dan memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan tenaga kerja. 
  1. Tugas besar ini memerlukan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, majikan dan pekerja.
  1. Dalam konteks ini, saya ingin menekankan tanggungjawab dan amanah besar yang diletakkan kepada PETRONAS sebagai pengurus utama dalam industri minyak dan gas Malaysia. 
  1. Risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang unik di sektor ini memerlukan pendekatan yang fleksibel dan adaptif kepada pengurusan. Pengurusan risiko yang berkesan bukan sahaja dengan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja kita tetapi juga menjadi bukti kepada pertumbuhan dan kecemerlangan ekonomi negara kita.
  1. PETRONAS memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) yang berkelayakan di Malaysia. Melalui pelbagai inisiatif, PETRONAS telah menyumbang secara signifikan kepada latihan dan pembangunan SHO, memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan untuk menangani cabaran dinamik keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 
  1. Usaha ini amat penting dalam memupuk tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga komited untuk memupuk standard keselamatan dan kesihatan tertinggi di tempat kerja.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Salah satu Teras Strategik di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) yang selari dengan PD&T PETRONAS, selaku penganjur persidangan ini ialah Teras Strategik 6: Pemantapan KKP Melalui Teknologi. Program-program yang diperkenalkan di bawah Teras Strategik ini termasuklah:
  1. Membangunkan tempat kerja pintar berdasarkan IR 4.0
  2. Membangunkan Ekosistem Teknologi dalam KKP
  3. Menguruskan risiko KKP melalui Teknologi Digital
  1. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap melalui integrasi teknologi, juga menepati landskap KKP negara yang akan berevolusi selaras denagn penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah dikuatkuaskan bermula 1 Jun 2024. 
  1. Pindaan ini akan mendorong peningkatan dalam standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan seterusnya memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

  1. Kesimpulannya, tema PPHC 2024 iaitu Mission Zero Possible: Komitmen dan Akauntabiliti” ini amat bertepatan dengan objektif dan seruan untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama dan berkolaborasi mengikut konsep tripartisme, serta mengukuhkan komitmen untuk mencapai matlamat ini. 
  1. Marilah kita merealisasikan misi ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab dalam usaha untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif
  2. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM,

saya dengan sukacitanya merasmikan PD&T AND PARTNERS HSE CONFERENCE 2024.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YANG BERUSAHA

IR. TS. DR. MAJAHAR BIN ABD. RAHMAN

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

Program :Bengkel Chemical Information Management System (CIMS) dan Sistem Classification Tool for Chemical Mixture (CATCH) Tahun 2024 Peringkat Zon Tengah 
Tarikh :30 April 2024 (Selasa)
Tarikh :11.15 pagi
Tempat :Dewan Kuliah Utama, Pusat Pengurusan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi
Anjuran :Bahagian Pengurusan Kimia Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani

  1. Yang Berusaha

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  1. Yang Berusaha

Ir. Ts. Hazlina binti Yon

Pengarah Bahagian Pengurusan Kimia JKKP Ibu Pejabat

  1. Yang Berusaha

Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta

Pengarah 

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM  

merangkap Pengasas Sistem CATCH

  1. Pegawai JKKP Ibu Pejabat dan Negeri
  1. Kakitangan LESTARI UKM
  1. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
  1. Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia-Nya kita dapat sama-sama berkumpul dan menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Chemical Information Management System (CIMS) dan Sistem Classification Tool for Chemical Mixture (CATCH) Tahun 2024 Peringkat Zon Tengah pada hari ini.
  1. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur daripada Bahagian Pengurusan Kimia, JKKP Ibu Pejabat dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM atas kerjasama padu dalam memastikan kelancaran penganjuran program pada hari ini. 
  1. Terima kasih diucapkan kepada pihak LESTARI, UKM kerana menyediakan fasiliti dan keperluan-keperluan bengkel pada hari ini. Tahniah juga saya ucapkan di atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua peserta yang hadir pada hari ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

(Pengenalan)

  1. Bahan kimia digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Penggunaan bahan kimia dapat membantu memperbaiki kehidupan seharian dan memberikan pelbagai faedah kepada manusia.
  1. Walau bagaimanapun, sesetengah bahan kimia boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan manusia dengan menyebabkan kesan akut atau kronik.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

(Fungsi Bahagian Pengurusan Kimia)

  1. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerusi Bahagian Pengurusan Kimia berperanan penting sebagai peneraju dalam menangani isu-isu semasa berkaitan pengurusan kimia meliputi Globally Harmonised System (GHS) on Classification and Labelling of Chemical, Chemical Health Risk Assessment, Chemical Weapon Convention (CWC), Indoor Air Quality (IAQ) dan Konvensyen-Konvensyen Antarabangsa berkaitan bahan kimia.  
  1. Bahagian Pengurusan Kimia juga bertindak sebagai penyelaras bagi pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan- Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 atau dikenali sebagai Peraturan CLASS 2013. Antara elemen penting yang digariskan dalam Peraturan CLASS 2013 adalah pengelasan bahan kimia dan pengemukaan inventori bahan kimia berbahaya tahunan melalui Chemical Information Management System (CIMS).
  1. Globally Harmonised System of Classification and Labelling of Chemicals, atau dikenali sebagai GHS, merupakan satu sistem pengelasan dan pelabelan bahan kimia yang dibangunkan oleh United Nations (UN) pada tahun 2003. 
  1. Tujuan utama GHS dibangunkan adalah untuk memperkukuh komunikasi hazad bahan kimia dan menggalakkan perdagangan bahan kimia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 
  1. Pada tahun 2009, GHS telah diterapkan dalam perundangan yang dikuat kuasa JKKP melalui pewartaan Peraturan CLASS 2013 dan Tataamalan Industri mengenai Pengelasan Bahan Kimia Komunikasi Hazad (ICOP CHC) 2014.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

(Chemical Information Management System (CIMS))

  1. Peraturan 14 di bawah Peraturan CLASS 2013 menetapkan keperluan pembekal utama mengemukakan inventori bahan kimia berbahaya kepada JKKP. Inventori ini meliputi bahan kimia berbahaya yang diimport atau dibekalkan dalam kuantiti satu (1) tan metrik dan lebih setahun bagi setiap tahun kalendar. Ianya juga perlu dikemukakan kepada Ketua Pengarah JKKP tidak lewat daripada 31 Mac tahun yang berikutnya. 
  1. Justeru, CIMS dibangunkan oleh JKKP bagi membolehkan penghantaran inventori bahan kimia berbahaya dibuat secara dalam talian oleh pembekal.
  1. Hal ini memberikan impak positif kepada industri terutama dari segi penjimatan kos dan masa yang digunakan bagi menyempurnakan tanggungjawab mengemukakan inventori bahan kimia berbahaya. 
  1. Untuk makluman, sehingga Disember 2023, sejumlah 1664 akaun pengguna telah berdaftar di dalam CIMS. Peningkatan sebanyak 166% dicatatkan pada tahun 2022 bagi kuantiti bahan kimia yang diimport dan dikilangkan berbanding tahun 2021, iaitu 803 juta tan bahan kimia pada tahun 2022 berbanding 301 juta tan bahan kimia pada tahun 2021. 
  1. Trend peningkatan kuantiti bahan kimia berbahaya ini jelas menunjukkan keperluan pembekal utama untuk mengelaskan bahan kimia dengan betul serta mengemukakan inventori bahan kimia berbahaya dengan tepat melalui CIMS.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

(Pembangunan CATCH oleh MITI dengan Kerjasama UKM)

  1. Pematuhan Peraturan CLASS 2013 di kalangan industri adalah mencabar kerana ia memerlukan input daripada orang yang terlatih atau orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengelasan dan toksikologi di samping tempoh pengemukaan inventori yang ditetapkan oleh JKKP adalah terhad.
  1. Pihak industri, khususnya daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME), berhadapan kesukaran untuk mengelaskan campuran bahan kimia yang dihasilkan. Ini boleh menjejaskan kesihatan pekerja dan pada masa yang sama memberi implikasi kepada perdagangan bahan kimia.
  2. Sehubungan itu, pada tahun 2016, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah inisiatif High Value-added and Complex Product Development Programme, telah menggerakkan satu projek yang dikenali sebagai ‘Globally Harmonised System of Classification – Chemical Industry’ dan diketuai oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 
  1. Matlamat utama projek tersebut adalah untuk membantu industri mematuhi Peraturan CLASS 2013, dan pada masa yang sama menggalakkan perdagangan bahan kimia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  1. Hasil daripada kajian projek tersebut, satu sistem dalam talian yang dikenali sebagai CATCH (Classification Tool for Chemical Mixture) telah dibangunkan pada tahun 2017. 
  1. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan ke atas penggunaan CATCH, namun, pendaftaran diwajibkan sebelum menggunakan CATCH. 
  1. Pada 8 Mac 2023, satu perjanjian hak milik telah ditandatangani di antara MITI dan UKM, di mana MITI telah memindahkan hak milik CATCH sepenuhnya kepada UKM, dan UKM bertanggungjawab untuk menyelenggara CATCH. Berdasarkan trend penggunaan CATCH, didapati pengguna utama CATCH terdiri daripada pihak industri.

Hadirin yang saya hormati sekalian, 

(Harapan dan Saranan)

  1. Adalah menjadi harapan saya agar penganjuran bengkel ini dapat membantu pihak industri khususnya daripada sektor industri kecil dan sederhana (SME) dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengelasan bahan kimia berbahaya melalui platform CIMS dan CATCH.
  1. Diharapkan juga semua peserta dapat mengambil peluang mempelajari keperluan pengelasan bahan kimia dan pengemukaan inventori seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan CLASS 2013.
  1. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Sehubungan itu, ingin saya maklumkan bahawa JKKP juga dalam proses membuat pindaan peraturan berkaitan pengurusan kimia khususnya Peraturan CLASS 2013 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau dikenali sebagai Peraturan USECHH 2000. 
  1. Pindaan bagi kedua-dua Peraturan ini berada di peringkat akhir penggubalan. Jika tiada halangan, ia dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini atau tahun hadapan. Oleh itu, saya berharap pihak industri dapat mengambil perhatian dan bersedia bagi sebarang perubahan melibatkan pindaan kedua-dua Peraturan tersebut.
  1. Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Bahagian Pengurusan Kimia dan LESTARI, UKM di atas komitmen tinggi dalam memastikan bengkel ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Dengan lafaz BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM, 

Saya dengan sukacitanya merasmikan Bengkel Chemical Information Management System (CIMS) dan Sistem Classification Tool for Chemical Mixture (CATCH) Tahun 2024 Peringkat Zon Tengah.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih.

C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

NOTA PERCAKAPAN

YANG BERHORMAT

ENCIK SIM CHEE KEONG

Menteri Sumber Manusia

Program :Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024
Tarikh :28 April 2024 (Ahad)
Tempat :University of Cyberjaya, Selangor 
Anjuran :Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) Dengan Kerjasama:
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), University of Cyberjaya dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Disediakan Oleh:

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

  1. Maklumat Program
  • Tajuk: Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024
  • Penganjur: Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), University of Cyberjaya dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • Tujuan program:
  1. Mengenang kembali mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja; dan 
  2. Mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
  • Jumlah peserta: 2,500 orang yang terdiri daripada pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) 
  • Merupakan himpunan terbesar pengamal KKP daripada seluruh Negara, di mana bacaan Ikrar Integriti yang akan dilafazkan oleh semua peserta sebentar lagi akan tercatat sebagai “The Largest Integrity Pledge by OSH Practitioners in Malaysia” di Malaysian Book of Records.
  1. Pengenalan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024
  • Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tempat Kerja atau lebih sinonim dengan panggilan World OSH Day, diperkenalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) disambut pada tanggal 28 April setiap tahun di seluruh dunia.
  • Sebagai anggota ILO, Malaysia tidak pernah melepaskan peluang untuk mengadakan sambutan World OSH Day sejak tahun 2003.
  • Ini merupakan usaha berterusan dan komitmen kerajaan sejajar dengan ILO Convention No. 187: Promotional Framework for Occupational Safety and Health yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 2012 bagi memastikan aspek KKP dilindungi dengan sebaiknya.
  • Ini dilakukan melalui penambahbaikan secara berterusan dengan tujuan mencegah kecederaan, kecederaan maut dan penyakit pekerjaan melalui pembangunan dasar, sistem dan program dengan konsultansi melibatkan tripartite (kerajaan, majikan dan pekerja).
  1. Konsep Sambutan World OSH Day 2024
  • Tema sambutan World OSH Day pada tahun ini ialah “Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” atau “The Impacts of Climate Change on Occupational Safety and Health” sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ILO.
  • Konsep yang diperkenalkan ILO ini selari dengan kesan perubahan iklim dunia yang boleh menjejaskan aktiviti kerja dan meningkatkan risiko kecederaan, penyakit pekerjaan dan kematian. 
  • Kesan perubahan iklim terhadap sektor pekerjaan:
  1. Risiko terhadap pekerja yang bekerja di luar bangunan (sektor pertanian, pembinaan dan pengangkutan) terdedah kepada tegasan haba
  2. Pekerja yang bekerja di dalam bangunan terdedah kepada persekitaran yang panas dan kurang pengudaraan
  3. Pekerja juga berisiko untuk terdedah kepada masalah kesihatan mental dan kemurungan
  4. Implikasi kewangan akibat kehilangan produktiviti, gangguan perniagaan dan kerosakan infrastruktur
  • Tema ini juga menyokong konsep hak pekerja untuk bekerja dalam persekitaran kerja yang selamat dan sihat waima adanya kesan perubahan iklim secara globalisasi melalui langkah-langkah adaptasi dan mitigasi dengan pelaksanaan dasar, perundangan dan amalan KKP yang berkesan.
  1. Dasar-Dasar Kerajaan dan KESUMA berkaitan program:
    1. Kerangka Malaysia MADANI 
  1. Tonggak kemampanan – Kemampanan kunci kesejahteraan masa hadapan
  2. Tiga ancaman yang melanda dunia iaitu kesan perubahan iklim, penularan varian baru COVID-19 serta ketegangan geopolitik
  3. Perubahan pola cuaca akan meningkatkan kekerapan bencana alam seperti banjir, kemarau berpanjangan, tanah runtuh dan fenomena air pasang yang boleh memberikan kesan meluas kepada negara dan kehidupan rakyat. Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada keselamatan dan Kesihatan pekerjaan.
  1. Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP-RMK12) dengan Tema – “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” melalui 3 Tumpuan. (Teks ucapan PMX – Pembentangan Usul RMK12 2021-2025) pada 11 September 2023 di Dewan Rakyat.
  1. Tumpuan 3: Memperkukuh Kemampanan dan Tatakelola (Penegasan 9: Mempercepat Peralihan kepada Ekonomi Kalis Cabaran Masa Hadapan)
  2. Amanah Kerajaan untuk menjamin keseimbangan alam sekitar, memulihara sumber semula jadi, menangani cabaran bencana alam dan memastikan keberlangsungan flora dan fauna – rukun pertama Malaysia MADANI (kemampanan)
  3. Inisiatif Kerajaan – penggubalan perundangan mengenai perubahan iklim untuk mengawal selia pelaksanaan kebijakan bagi memenuhi kewajipan perubahan iklim
  1. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga – NETR 
  1. Menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi hala tuju ekonomi negara berteraskan “Ekonomi MADANI, Memperkasa Rakyat” yang diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Julai 2023. NETR adalah strategi Malaysia dalam mendepani trend peralihan tenaga global yang sedang berkembang pesat. Selain meneroka peluang pembangunan ekonomi baharu dan merancakkan pelaburan dalam dan luar negara, NETR juga merupakan iltizam bagi menjamin masa depan negara serta kesejahteraan rakyat melalui pengurusan peralihan tenaga secara adil, inklusif dan teratur.
  1. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)
  1. NIMP 2030 mengambil pendekatan transformatif dan pantas untuk mencapai matlamat bagi memacu transformasi industri secara besar-besaran untuk memajukan kompleksiti ekonomi, menyegerakan pendigitalan, mendorong pelepasan karbon bersih-sifar (termasuk daripada kesan perubahan iklim), dan menjamin keselamatan ekonomi dan keterangkuman.
  2. Ini sejajar dengan kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peranannya dalam mentransformasi landskap ekonomi.
  1. Teras Strategik 7, Peningkatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkaitan Pekerjaan Masa Hadapan (Future Jobs), Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025
  1. Kajian mengenai hazard-hazard pekerjaan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang muncul akibat pekerjaan masa hadapan juga telah dilaksanakan terutamanya berkaitan dengan tenaga solar yang juga dikaitkan dengan perubahan iklim.
  1. Dasar Keselamatan Negara 2021-2025
  1. Nilai Teras Keselamatan Negara 7 – Pembangunan Mampan (Pengurusan Perubahan Iklim).
  2. Pembangunan mampan tidak hanya dilihat daripada aspek material dan infrastruktur sahaja. Pembudayaan mentaliti yang meletakkan kelestarian alam sekitar dalam pembuatan dasar strategik di pelbagai sektor pekerjaan perlu diterapkan.
  1. Dasar Perubahan Iklim Negara (2009)
  1. Tindakan Utama 21, Teras Strategi 5 -Menggalak dan meningkatkan Efficiency Energy (EE) dalam sektor perindustrian.
  2. Mengambil langkah-langkah kawalan ke dalam dasar, rancangan, program dan projek di sektor pekerjaan.
  3. Dalam usaha menangani perubahan iklim, kedua-dua adaptasi dan mitigasi perlu dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang seperti terkandung dalam Dasar Perubahan Iklim Negara ini.
  4. Adaptasi merangkumi pelbagai tindakan membantu komuniti dan ekosistem bagi menghadapi perubahan iklim.
  5. Mitigasi pula melibatkan pelbagai langkah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca yang merupakan salah satu punca pemanasan global. 
  1. Selari dengan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Strategic Development Goals – SDG) yang telah diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015. KESUMA bertanggungjawab ke atas sasaran 8 (SDG 8) iaitu Decent Work and Economic Growth yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan lestari, produktiviti dan pekerjaan yang selamat untuk semua. Sasaran 8.8 di dalam SDG8 secara khususnya menekankan hak buruh dan promosi persekitaran kerja yang selamat dan terjamin untuk semua pekerja.
  1. Harapan dan Saranan
  • Semoga keselamatan dan kesihatan sentiasa diutamakan, bekerja untuk keperluan diri dan keluarga serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Negara dan kesejahteraan Negara.
  • Kesejahteraan Negara akan dapat dicapai berlandaskan kemampanan, Masyarakat Malaysia yang penyayang dan ihsan, budaya saling menghormati yang diterapkan semua berpandukan keyakinan sejati serta berbekalkan semangat daya cipta yang tinggi (Konsep Negara MADANI).  
  • Menekankan keperluan kerjasama antara Kerajaan, majikan, kesatuan sekerja dan komuniti dalam menangani cabaran KKP, termasuk cabaran perubahan iklim dan ini bertepatan dengan Misi Strategik 3K KESUMA yakni memperkasakan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan Pekerja.   
C:\Users\USER\Downloads\JATA HQ BM (4).png

TEKS UCAPAN ALUAN

YANG BERUSAHA

IR. HAJI MOHD. HATTA BIN ZAKARIA

Ketua Pengarah 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

Program :Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024
Tarikh :28 April 2024 (Ahad)
Tempat :University of Cyberjaya, Selangor
Anjuran :Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP)
Dengan Kerjasama
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), University of Cyberjaya dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Disediakan Oleh :

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

Bismillahirahmannirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, 

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Senarai Protokol

  1. Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia-Nya kita dapat sama-sama berkumpul dan menghadiri Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024 pada hari ini.
  1. Seterusnya, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia kerana sudi hadir bagi menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2024 ini walaupun mempunyai jadual kerja yang padat.
  1. Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah KESUMA, Ahli Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH), pengurusan University of Cyberjaya serta dif-dif jemputan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Tanggal 28 April setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa sebagai Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia atau sinonimnya World OSH Day.
  1. Pada tahun ini, tema sambutan World OSH Day adalah “Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” atau “The Impacts of Climate Change on Occupational Safety and Health”
  1. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, pada masa ini negara dianggarkan mempunyai 15.39 juta pekerja yang bekerja dalam pelbagai sekor pekerjaan.  Dan, kita sedia maklum aspek keselamatan dan Kesihatan pekerjaan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
  1. Justeru, Kerajaan melalui KESUMA dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah diberi tanggungjawab untuk mentadbir dan menguatkuasakan perundangan berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), akan terus komited bagi memastikan pekerja-pekerja di Malaysia dapat mempertingkatkan kualiti hidup semasa bekerja melalui pembentukan budaya kerja yang selamat dan sihat.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja adalah bertujuan untuk mengenang kembali mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. 
  1. Namun, sejajar dengan perubahan halatuju dan objektif yang ingin dicapai dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dapat ditingkatkan, World OSH Day juga disambut bagi tujuan mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
  1. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, program Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja ini bukan sahaja disambut di sini tetapi disambut di seluruh premis dan tempat kerja di Negara kita dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Persatuan Pengamal KKP, NGO, majikan dan pekerja. 
  1. Ini bermakna mesej mengenai isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) ini dapat disampaikan secara langsung kepada para majikan dan pekerja di Negara kita. Saya ucapkan tahniah atas usaha ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya juga difahamkan sambutan World OSH Day pada tahun ini telah berjaya menghimpunkan sejumlah 2,500 orang peserta yang terdiri daripada pengamal KKP.
  1. Ini merupakan himpunan terbesar pengamal KKP daripada seluruh Negara, di mana bacaan Ikrar Integriti yang akan dilafazkan oleh semua peserta sebentar lagi akan tercatat sebagai “The Largest Integrity Pledge by OSH Practitioners in Malaysia” di Malaysian Book of Records. Alhamdulillah dan selayaknya diberikan ucapan syabas dan tahniah juga.  
  1. Selari dengan tema World OSH Day pada tahun ini, sesi ceramah dan dialog berkaitan Kesan Perubahan Iklim Terhadap KKP juga akan diadakan selepas ini bagi mengupas dengan lebih lanjut isu-su berkaitan KKP yang timbul akibat daripada kesan perubahan iklim dan pemanasan global di seluruh dunia.
  1. Perubahan iklim ini sudah pun memberi kesan serius kepada kesihatan manusia dan dunia pekerjaan. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pekerja selalunya menjadi antara kumpulan terawal terdedah kepada kesan perubahan iklim untuk tempoh yang lebih lama dan pada intensiti yang lebih tinggi.

Hadirin yang saya hormati sekalian, 

  1. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024 telah memasukkan peruntukan khas berkaitan kewajipan majikan untuk menjalankan penaksiran risiko. 
  1. Ini bertepatan dengan perkembangan ekonomi negara, di mana pelbagai sektor pekerjaan baharu wujud dan berpotensi mendedahkan pekerja kepada pelbagai hazard keselamatan dan Kesihatan pekerjaan, termasuk kesan perubahan iklim secara global. 
  1. Sehubungan itu, menjadi harapan saya agar penganjuran program ini memberi manfaat kepada semua pengamal KKP, persatuan-persatuan KKP, majikan dan juga pekerja untuk sentiasa bersiapsiaga dan mengambil langkah-langkah kawalan yang sewajarnya dalam mendepani isu-isu berkaitan kesan perubahan iklim ini.
  1. Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur dan juga pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di atas komitmen, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan penganjuran sambutan World OSH Day ini.
  1. Saya juga berdoa semoga dengan usaha sebegini, penerapan budaya kerja selamat dan sihat yang positif dan cemerlang di kalangan masyarakat dapat direalisasikan, walaupun dengan cabaran perubahan iklim yang bersifat dinamik, Insya-Allah.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

MALAYSIA

TEKS UCAPAN PERASMIAN

SEMINAR KKP BAGI PEKERJAAN DI SEKTOR INDUSTRI TEKNOLOGI MUDAH ALIH GENERASI KELIMA (5G)

ProgramSEMINAR KKP BAGI PEKERJAAN DI SEKTOR INDUSTRI TEKNOLOGI MUDAH ALIH GENERASI KELIMA (5G)
Tarikh6 MAC 2024 (RABU)
TempatPACIFIC REGENCY HOTEL SUITE, KUALA LUMPUR

[Rujuk kepada senarai protokol]

Bismillahirahmaniirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

  1. Alhamdulillah, terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dan amat berbesar hati kerana dijemput dan dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Sektor Industri Teknologi Mudah Alih 5G yang diadakan pada hari ini.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Teknikal Teras Strategik 7 OSHMP25Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. dan perunding dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di atas kerjasama yang diberikan bagi memastikan kelancaran seminar pada hari ini.  Syabas diucapkan atas komitmen yang telah ditunjukkan ini.
  1. Saya juga berharap dengan penganjuran seminar ini dapat memberi peluang kepada semua peserta untuk meningkatkan dan mengemaskini pengetahuan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi mendepani cabaran semasa dan mendatang yang sentiasa dinamik dengan perubahan prasarana dan teknologi terkini terutamanya dalam sektor Industri Mudah Alih Generasi Kelima atau dikenali sebagai 5G.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.

  1. Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan amat komited untuk memastikan pekerja di negara ini dapat bekerja di persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif. 
  1. Pelbagai program telah dirancang bagi memartabatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara ini agar Budaya Kerja Selamat dan Sihat dapat dipraktiskan di semua sektor industri  dan semua tempat  kerja. Antara program berimpak tinggi yang kini dalam pelaksanaan adalah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) yang pada tahun ini merupakan tahun ke-4 pelaksanaannya.
  1. Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) ini mensasarkan pencapaian menjelang tahun 2026 iaitu:
  1. Kadar kecederaan maut iaitu 2.93 bagi setiap 100,000 orang pekerja;
  2. Kadar kecederaan Pekerjaan iaitu 2.13 bagi setiap 1,000 orang pekerja; dan
  3.  Peningkatan 30% pelaporan penyakit pekerjaan dan keracunan pekerjaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.

  1. Untuk makluman, seminar yang dijalankan pada hari ini merupakan kesinambungan daripada dapatan kajian yang telah dijalankan oleh pihak perunding luar yang telah dilantik oleh Jabatan iaitu pihak UTHM dalam usaha Jabatan untuk mengenalpasti sektor industri yang mampu untuk berkembang dengan lebih luas di masa hadapan di negara kita atau lebih dikenali sebagai Future Job.
  1. Dari kajian tersebut, sektor industri 5G merupakan salah satu sektor yang akan terus berkembang dengan lebih meluas di masa yang akan datang. 5G juga bakal membawa perubahan kepada masyarakat dengan gaya hidup lebih pintar dan efisien, contohnya komunikasi yang lebih baik untuk memudahkan pekerjaan. 
  1. Komunikasi yang lebih berkesan ini membolehkan teknologi robot, dron dan peralatan yang menggunakan teknologi 5G dapat digunakan bagi menggantikan kerja yang selama ini dikendalikan dengan menggunakan tenaga manusia.
  1. Walaupun terdapat impak positif hasil teknologi 5G ini seperti mewujudkan peluang pekerjaan baru, namun hazard baru pula akan muncul dan ini memerlukan penilaian risiko dan kawalan risiko yang berbeza. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.

  1. Seminar ini merupakan salah satu aktiviti  yang dilaksanakan di bawah Teras Strategik 7, Program 1, OSHMP25 iaitu Memantapkan Kesedaran dan Kepekaan Amalan KKP bagi Pekerjaan Masa Hadapan (Future Jobs). 
  1. Ini juga adalah selari dengan pelan tindakan JENDELA (Jalinan Digital Negara), yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025)  yang telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri pada 29 Ogos 2020,  dan juga salah satu inisiatif ’AI (Kecerdasan Buatan) untuk Rakyat’ yang telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada
    16 Januari 2024 berkaitan dengan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) untuk mendepani cabaran pekerjaan baru. 
  1. Selain itu, Jabatan juga sedang giat membuat persediaan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) (Akta A1648). Menerusi penguatkuasaan  Akta Pindaan ini, adalah dijangkakan landskap KKP negara akan berubah secara signifikan dan lebih holistik dan cabaran pekerjaan baru dapat ditangani. 
  1. Jabatan yakin jika kita melakukan persediaan yang cukup, penggunaan teknologi sebenarnya mampu meningkatkan tahap KKP dan membantu mencegah kemalangan dan penyakit di tempat kerja dalam tahun-tahun mendatang dan meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia secara keseluruhan

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.

  1. Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dalam menjayakan seminar 5G pada kali ini. Sekalung penghargaan diberikan kepada semua yang telah menghadiri program pada hari ini. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
  1. Dengan kata-kata itu dan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan dengan ini merasmikan SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN BAGI PEKERJAAN DI SEKTOR INDUSTRI TEKNOLOGI MUDAH ALIH 5G TAHUN 2024.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalam Mualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.

Pautan Luar

HUBUNGI KAMI

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Aras 5 (Kaunter Utama), Setia Perkasa 4,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 Putrajaya

Tel: 03-8000 8000

Faks: 03-8889 2443

BILANGAN PELAWAT

Hari Ini: 52,311
Bulan Ini: 1,020,548
Jumlah: 37,852,076

Tarikh Kemaskini:

10 / 2 / 2025

Paparan Terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi skrin 1920 x 1080

Hakcipta Terpelihara 2025 © Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.