Alat Kebolehcapaian

Utama » Media » Siaran Media

Siaran Media

SIARAN MEDIA

SEMINAR PERATURAN-PERATURAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (KERJA PEMBINAAN) (REKA BENTUK DAN PENGURUSAN) 2024 

SEMPENA MAJLIS PENUTUP MINGGU KKP 2024

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada hari ini telah menganjurkan Seminar Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 sempena Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2024. Seminar ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau dikenali sebagai OSH Week adalah satu acara tahunan yang disambut pada setiap tahun susulan arahan Kabinet pada 24 Mei 2006. 

Tema OSH Week pada tahun ini ialah Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.

Bertepatan dengan tema pada tahun ini, program dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan adalah ke arah hebahan dan promosi ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022, serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya.

Seminar yang diadakan pada hari ini memberi fokus kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Peraturan ini digubal bertujuan untuk memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat dan sihat melalui penetapan kewajipan kepada pihak berkepentingan seperti klien, pereka bentuk dan pembina.

Sektor pembinaan mencatatkan: 

  1. Peningkatan jumlah kecederaan pekerjaan sebanyak 21% pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Pada tahun 2022, sektor pembinaan mencatatkan kes sebanyak 160 kes, manakala pada tahun 2023 adalah sebanyak 194 kes; dan
  2. Jumlah kecederaan maut juga mengalami peningkatan sebanyak 6%, iaitu daripada 63 kes pada tahun 2022 kepada 67 kes pada tahun 2023.

Ini menjadikan sektor pembinaan sebagai sektor tertinggi yang menyumbang kepada kecederaan maut pada tahun 2023 dan sektor keempat tertinggi untuk kecederaan pekerjaan pada tahun yang sama.

Sehubungan itu, adalah diharapkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, pihak yang diberi kewajipan akan bekerjasama untuk mengurus projek dengan selamat sepanjang tempoh pembinaan, penyelenggaraan dan perobohan serta dapat membantu mengurangkan kes kecederaan maut dan kecederaan pekerjaan yang kini berada pada fasa yang perlu diberi perhatian yang serius.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

5 Ogos 2024

SIARAN MEDIA

SEMINAR PERATURAN-PERATURAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (KERJA PEMBINAAN) (REKA BENTUK DAN PENGURUSAN) 2024

SEMPENA MAJLIS PENUTUP MINGGU KKP 2024

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada hari ini telah menganjurkan Seminar Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 sempena Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2024. Seminar ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau dikenali sebagai OSH Week adalah satu acara tahunan yang disambut pada setiap tahun susulan arahan Kabinet pada 24 Mei 2006.

Tema OSH Week pada tahun ini ialah Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.

Bertepatan dengan tema pada tahun ini, program dan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan adalah ke arah hebahan dan promosi ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022, serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya.

Seminar yang diadakan pada hari ini memberi fokus kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Peraturan ini digubal bertujuan untuk memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat dan sihat melalui penetapan kewajipan kepada pihak berkepentingan seperti klien, pereka bentuk dan pembina.

Sektor pembinaan mencatatkan:

  1. Peningkatan jumlah kecederaan pekerjaan sebanyak 21% pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Pada tahun 2022, sektor pembinaan mencatatkan kes sebanyak 160 kes, manakala pada tahun 2023 adalah sebanyak 194 kes; dan
    1. Jumlah kecederaan maut juga mengalami peningkatan sebanyak 6%, iaitu daripada 63 kes pada tahun 2022 kepada 67 kes pada tahun 2023.

Ini menjadikan sektor pembinaan sebagai sektor tertinggi yang menyumbang kepada kecederaan maut pada tahun 2023 dan sektor keempat tertinggi untuk kecederaan pekerjaan pada tahun yang sama.

Sehubungan itu, adalah diharapkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, pihak yang diberi kewajipan akan bekerjasama untuk mengurus projek dengan selamat sepanjang tempoh pembinaan, penyelenggaraan dan perobohan serta dapat membantu mengurangkan kes kecederaan maut dan kecederaan pekerjaan yang kini berada pada fasa yang perlu diberi perhatian yang serius.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

5 Ogos 2024

SIARAN MEDIA

MAJLIS PENGHARGAAN AGEING PLANT MANAGEMENT SYSTEM (APMS) DOSH – FGV SEMPENA MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 2024

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dengan kolaborasi FGV Holdings Berhad pada hari ini telah menganjurkan Majlis Penghargaan Ageing Plant Management System (APMS) DOSH-FGV sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024. Majlis yang diadakan di FGV Palm Industries Sdn. Bhd., Kilang Sawit Air Tawar, Kota Tinggi, Johor ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.

Penganjuran majlis ini amat signifikan kerana ia bertepatan dengan sambutan tahunan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) yang disambut setiap tahun pada minggu kedua bulan Julai. Tema OSH Week pada tahun ini ialah “Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022”. Secara simboliknya, majlis penghargaan ini merupakan majlis rasmi JKKP bagi sambutan OSH Week tahun 2024.  

Sejak tahun 2023, FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengambil inisiatif kendiri dengan melibatkan 86 buah loji di bawah seliaannya menjalankan penilaian kendiri terhadap sistem pengurusan integriti aset mengguna pakai sistem Ageing Plant Information System (APIS). Inisiatif ini mampu menyuntik semangat dan meningkatkan kesedaran peraturan kendiri di kalangan pihak industri serta dapat memupuk standard keselamatan dan kesihatan tertinggi di tempat kerja.

Inisiatif kendiri ini juga amat bertepatan dengan objektif dan seruan agar semua pihak berkepentingan bekerjasama dan berkolaborasi mengikut konsep tripartisme, serta mengukuhkan komitmen untuk mencapai matlamat persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap untuk semua rakyat Malaysia.

Sistem APIS yang dibangunkan oleh JKKP dapat membantu pihak industri menjalankan penilaian kendiri terhadap sistem pengurusan integriti aset di loji mereka. Pemantauan terhadap integriti aset ini bertujuan untuk menilai sama ada sesebuah loji mengalami masalah kemerosotan atau keusangan yang boleh mencetuskan isu penuaan loji tidak kira dari segi usia integriti atau prestasi fungsinya.

Kemerosotan atau keusangan loji ini jika tidak dipantau, disenggara dan diurus dengan baik serta cekap, boleh menyebabkan pemberhentian pengoperasian loji yang tidak dirancang dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat.

Penilaian kendiri menggunakan sistem APIS ini adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap melalui integrasi teknologi, juga menepati landskap KKP negara yang akan berevolusi selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa bermula 1 Jun 2024.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

11 Julai 2024

SIARAN MEDIA

OPERASI SPARK 

(SEBARAN PERUNDANGAN AKKP REVOLUSI KKP NEGARA)

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengadakan Operasi SPARK (Sebaran Perundangan AKKP Revolusi KKP Negara) pada hari ini. Operasi ini diketuai oleh YBrs. Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.

Kerajaan amat komited untuk memastikan semua pekerja di negara ini dapat bekerja di persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif. Komitmen ini dizahirkan melalui pewartaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 16 Mac 2022.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Inisiatif bagi hebahan Akta Pindaan ini telah aktif dijalankan melalui program Hebahan Perundangan Baharu KKP Negara, di enam (6) zon seluruh negara, bermula pada 20 Mei 2024 di Pulau Pinang (Zon Utara) dan berakhir pada 29 Mei 2024 di Selangor (Zon Tengah). Sejumlah 1,103 orang peserta hadir secara fizikal di 6 zon dan 6,281 orang peserta hadir secara dalam talian semasa sesi penutup program tersebut.

Operasi SPARK telah berlangsung selama sepuluh (10) hari bermula pada 12 Jun 2024 sehingga 27 Jun 2024 serentak di seluruh negara. Operasi SPARK yang melibatkan 1,241 tempat kerja ini telah dijalankan oleh pegawai JKKP melalui aktiviti penguatkuasaan di pelbagai sektor industri (sebanyak 40%), pemeriksaan jentera berperakuan (sebanyak 40%) serta penguatkuasaan tapak binaan (sebanyak 15%). 

Tujuan Operasi SPARK ini dijalankan adalah untuk menghebahkan kuat kuasa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, dan pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1967.  Operasi ini juga bertujuan mengetahui keberkesanan strategi hebahan JKKP berkaitan perundangan baharu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara. Hasil daripada operasi ini, 70% tempat kerja memberi respon positif dan memaklumkan mereka mengetahui tentang pindaan Akta KKP yang terkini. 

Dari segi kaedah hebahan sebanyak 43% responden dari tempat kerja menyatakan bahawa penganjuran program jerayawara dan seminar telah berjaya memberikan maklumat berkenaan pindaan Akta KKP terkini.  Manakala 20% industri bersetuju platform media sosial seperti Facebook JKKP dan TikTok JKKP memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan 37% industri mengetahui berkenaan pindaan perundangan ini melalui MyKKP.  

Antara perubahan ketara di dalam Akta Pindaan ini adalah memperkenalkan peruntukan baharu berkaitan tanggungjawab menjalankan pentaksiran risiko, pelantikan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH Coordinator) dan peningkatan penalti (deterrent effect) yang berjumlah sepuluh (10) kali ganda daripada yang sedia ada, iaitu maksimum penalt dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM500,000.

Dengan peningkatan maksimum penalti ini, secara tidak langsung isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja akan diberi perhatian dengan menjadikan tempat kerja bebas daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.

JKKP sentiasa menekankan pentingnya penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta perlunya penyesuaian terhadap cabaran baharu dalam KKP bagi memastikan tempat kerja sentiasa selamat, sihat, kondusif dan sejahtera.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

5 Julai 2024

PROJECT DELIVERY & TECHNOLOGY (PD&T) AND PARTNERS HEALTH, SAFETY & ENVIRONMENT (HSE) CONFERENCE 2024

Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan kerjasama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) pada hari ini telah menganjurkan Project Delivery & Technology (PD&T) and Partners Health, Safety & Environment (HSE) Conference 2024. Persidangan ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Haji Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP Malaysia.

Penganjuran persidangan ini juga merupakan soft launch sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2024 peringkat kebangsaan. Sambutan OSH Week merupakan acara tahunan yang disambut pada minggu ke-2 bulan Julai setiap tahun bermula pada tahun 2006, susulan daripada kelulusan dan arahan Kabinet Malaysia pada 24 Mei 2006. 

Tema OSH Week pada tahun ini ialah “Revolusi Lanskap KKP: Pasca Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022”. Tempoh pelaksanaan sambutan OSH Week bermula seawal bulan Jun, bersempena dengan tarikh penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 sehingga 31 Julai 2024.

Penganjuran persidangan ini merupakan usaha berterusan PETRONAS yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja berkonsepkan tripartisme.

Persidangan ini juga menjadi penanda aras komitmen bersepadu terhadap kecemerlangan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar. Ia juga menzahirkan komitmen PETRONAS selaras dengan tema persidangan ini ke arah Mission Zero Possible: Commitment and Accountability.

PETRONAS memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) yang berkelayakan di Malaysia. Melalui pelbagai inisiatif, PETRONAS telah menyumbang secara signifikan kepada latihan dan pembangunan SHO, memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan untuk menangani cabaran dinamik keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 atau OSHMP25 dibangunkan bertujuan untuk memperkukuhkan lagi pembentukan “Budaya Kerja Selamat dan Sihat” di kalangan majikan dan pekerja dan program pada hari ini merupakan salah satu Program di bawah Teras Strategik 6 iaitu Pemantapan KKP Melalui Teknologi.

Penganjuran persidangan ini adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap melalui integrasi teknologi, juga menepati landskap KKP negara yang akan berevolusi selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2024.

Pindaan ini akan mendorong peningkatan dalam standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan seterusnya memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

24 Jun 2024

SIARAN MEDIA

MAJLIS SAMBUTAN HARI SEDUNIA BAGI KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA

 (WORLD OSH DAY) 2024

KESUMA menerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH), pada hari ini telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2024. Majlis ini telah disempurnakan  oleh Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia.

Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tempat Kerja atau lebih sinonim dengan panggilan World OSH Day, diperkenalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan disambut pada tanggal 28 April setiap tahun di seluruh dunia. World OSH Day juga adalah sebahagian daripada program Sambutan Hari Pekerja.

Penganjuran majlis ini merupakan usaha berterusan dan komitmen kerajaan sejajar dengan ILO Convention No. 187: Promotional Framework for Occupational Safety and Health yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 2012 bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dilindungi dengan sebaiknya.

Penganjuran majlis ini juga bertujuan untuk mengenang kembali mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit pekerjaan serta mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.

Tema sambutan World OSH Day pada tahun ini ialah “Kesan Perubahan Iklim Terhadap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” atau “The Impacts of Climate Change on Occupational Safety and Health” sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ILO.

Tema yang diperkenalkan ILO ini selari dengan kesan semasa perubahan iklim dunia yang boleh menjejaskan aktiviti kerja dan meningkatkan risiko kecederaan, penyakit pekerjaan dan kematian.

Majlis pada hari ini menghimpunkan sejumlah 2,500 orang peserta yang terdiri daripada pengamal KKP. Ini merupakan himpunan terbesar pengamal KKP daripada seluruh Negara, di mana bacaan Ikrar Integriti yang dilafazkan oleh semua peserta tercatat sebagai “The Largest Integrity Pledge by OSH Practitioners in Malaysia” di Malaysian Book of Records.

Kerajaan sentiasa komited menangani isu perubahan iklim semasa dengan mengukuhkan pelbagai aspek kemampanan dalam agenda pembangunan ekonomi untuk memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan dan ini bertepatan dengan Misi Strategik 3K KESUMA yakni memperkasakan Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan Pekerja.

Ini juga selari dengan Dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan termasuk Kerangka Malaysia MADANI, Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP-RMK12) yang merangkumi  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP30), Teras Strategik 7- Peningkatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkaitan Pekerjaan  Masa Hadapan (Future Jobs) dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 serta Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang menggariskan berkenaan Pembangunan Mampan melalui Pengurusan Perubahan Iklim dan juga Dasar Perubahan Iklim Negara (2009) bertujuan memastikan pekerja di semua sektor dapat bekerja dalam keadaan yang selamat, sihat, kondusif dan sejahtera.

###

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia

28 April 2024

Pautan Luar

HUBUNGI KAMI

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Aras 5 (Kaunter Utama), Setia Perkasa 4,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 Putrajaya

Tel: 03-8000 8000

Faks: 03-8889 2443

BILANGAN PELAWAT

Hari Ini: 23,974
Bulan Ini: 992,442
Jumlah: 37,824,193

Tarikh Kemaskini:

10 / 2 / 2025

Paparan Terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi skrin 1920 x 1080

Hakcipta Terpelihara 2025 © Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.