Penguji Gas Bertauliah / Penyelia Kemasukan
a) Penguji gas bertauliah (AGT) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian atmosfera di dalam ruang terkurung.
b) Penyelia kemasukan (ES) merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menyelia semua aktiviti sebelum, semasa dan selepas operasi kemasukan pekerja ke dalam ruang terkurung.
c) Seseorang majikan hendaklah melantik, menggaji atau mengambil kerja orang kompeten yang dipanggil AGTES bagi menjalankan pengujian gas dan menyelia proses kemasukan ke dalam ruang terkurung seperti yang telah ditetapkan dalam Tataamalan Bekerja Selamat di Dalam Ruang Terkurung 2010.
d) AGT & ES yang dilantik oleh majikan hendaklah yang telah menghadiri kursus latihan tentang bekerja selamat di dalam ruang terkurung untuk penguji gas bertauliah dan penyelia kemasukan, dan telah lulus ujian atau peperiksaan.
e) AGT hendaklah:
- Mempunyai pengetahuan terkini tentang bahaya yang mungkin dihadapi semasa kemasukan, termasuk maklumat tentang cara, tanda dan simptom dan akibat tentang pendedahan;
- Mengenalpasti semua bahaya dan mengesyorkan langkah kawalan bagi memastikan kemasukan yang selamat;
- Mahir tentang semua kelengkapan kemasukan ruang terkurung;
- Menguji dan mentafsir paras bacaan gas di dalam ruang terkurung;
- Menjalankan lain-lain tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang dinyatakan dalam Tataamalan Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung 2010.
f) ES pula hendaklah:
- Mempunyai pengetahuan terkini tentang bahaya yang mungkin dihadapi semasa kemasukan dalam ruang terkurung;
- Menyelia semua aktiviti sebelum, semasa dan selepas operasi kemasukan dalam ruang terkurung;
- Menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan semua prosedur, ujian dan kelengkapan yang ditetapkan dalam permit bekerja telah dipatuhi sebelum permit bekerja diluluskan;
- Menghentikan kemasukan dan membatalkan permit bekerja tersebut jika keadaan kemasukan boleh terima tidak dapat dikekalkan;
- Menutup permit bekerja selepas kemasukan selesai; dan
- Menjalankan lain-lain tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang dinyatakan dalam Tataamalan Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung 2010.