Kelengkapan Pelindung Diri (KPD)
Pendahuluan
Kelulusan Kelengkapan Pelindung Diri (KPD) merupakan salah satu kehendak dan keperluan dalam Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Peraturan-peraturan tersebut dapat dirujuk pada Perundangan KPD.
Peraturan-peraturan tersebut telah menetapkan 7 jenis KPD yang memerlukan kelulusan Ketua Inspektor Kilang dan Jentera dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang merangkumi
- pelindung kepala
- pelindung kaki
- pelindung pendengaran
- pelindung mata (bahaya kimia)
- tangan (bahaya kimia)
- pelindung badan (tali keselamatan, tali hayat dan semua alat untuk pemasangan tali hayat)
- pelindung badan (bahaya kimia)
- pelindung pernafasan(bahaya kimia)
Keperluan pematuhan ini adalah kepada semua produk KPD yang digunakan di tempat kerja, termasuk produk KPD yang diimport dan buatan tempatan. Untuk mendapatkan kelulusan, semua KPD mesti mempunyai laporan ujian jenis penuh dan lesen pensijilan produk dari Badan Pemeriksa / Persijilan Bebas yang dilantik oleh DOSH iaitu SIRIM Qas International Sdn Bhd.