Doktor Kesihatan Pekerjaan
Pendaftaran baru dan permohonan daftar semula Doktor Kesihatan Pekerjaan adalah salah satu aktiviti utama di bawah pengurusan Bahagian Kesihatan Pekerjaan. Ia sejajar dengan kehendak Peraturan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan 2000 (USECHH 2000) yang mana peraturan ini menetapkan keperluan pengawasan perubatan dijalankan oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan yang berdaftar dengan jabatan dan mempunyai sijil yang masih sah tempohnya. Di bawah peraturan ini juga, pengawasan perubatan hendaklah dijalankan oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan untuk melindungi pekerja yang terdedah atau mungkin terdedah kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan.
Selain daripada pengawasan perubatan, Doktor Kesihatan Pekerjaan juga bertanggungjawab untuk menjalankan pengawasan kesihatan kepada pekerja yang bekerja di dalam ruang terkurung bagi memastikan tahap kesihatan pekerja terbabit dalam keadaan optima dari segi fizikal dan mental. Pengawasan kesihatan bagi pekerja yang bekerja di dalam ruang terkurung terkandung di dalam Tataamalan Industri Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung 2010.
Senarai nama Doktor Kesihatan Pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dipaparkan di laman portal jabatan ini.